Pemuda Dibina Dengan Iman Bukan Dengan Perkara Tidak Bermanfaat
1. Dalam hadis, Rasulullah memuji Saidina Abdullah ibn Umar sebagai pemuda yang soleh kerana sifatnya mendirikan malam. Rasulullah memuji Mus'ab ibn Umayr kerana beliau adalah pemuda yang berjuang untuk Islam. Bahkan Rasulullah menjanjikan pemuda dengan naungan Allah sekiranya mereka mengabdikan diri kepada Allah.
2. Malah Rasulullah menekankan kepada setiap Muslim agar meninggalkan perkara yang sia-sia. Kesibukan manusia dengan perkara yang sia-sia menjauhkan diri mereka dari keberkatan hidup.
3. al-Imam Hasan Al-Basri pernah berpesan kepada kita satu nasihat yang baik tentang keberkatan hidup. Kata Hasan Al Basri:
علامة إعراض الله تعالى عن العبد أن يجعل شغله فيما لا يعنيه.
"Salah satu tanda bahawa Allah telah berpaling dari hambanya adalah, dia menyibukkan hambanya dengan perkara yang sia-sia."
Bererti, kalau hidup kita banyak disibukkan dengan perkara yang sia-sia, itu barangkali salah satu tanda jauhnya hubungan kita dengan Allah.
4. Adalah tidak wajar bagi pemimpin untuk mendedahkan ruang kepada anak muda kepada perkara yang tidak bermanfaat atau sia-sia, ia menjauhkan pemuda dari keberkatan hidup.
5. Seorang tokoh Sufi dari Baghdad, iaitu Sheikh Maaruf al-Karkhi pernah berpesan:
كلام العبد فيما لا يعنيه خذلان من الله تعالى.
"Sesungguhnya ucapan atau kata-kata seorang hamba yang tidak memberi manfaat untuk dirinya adalah satu kehinaan di sisi Allah."
Kenyataan ini memberikan gambaran bahawa kesibukan manusia kepada perkara yang sia-sia akan mendedahkan mereka kepada kehinaan.
6. Dengan itu, adalah tidak wajar anak bagi kita mendedahkan anak muda kepada perkara yang sia-sia. Ini kerana Rasulullah membangunkan anak muda dengan iman, menyibukkan mereka dengan perkara yang bermanfaat, membimbing mereka dengan perkara yang membina jiwa.
Moga Allah sentiasa membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Ulasan
Catat Ulasan